Kaki, terutama bahagian lutut adalah antara anggota yang sering ´didera´ tanpa disedari. Kita menggunakan kaki sepenuhnya sama ada untuk berjalan, berlari, bersukan dan juga bergaya dengan kasut tumit tinggi tanpa memberi peluang untuk ia ´berehat´.
Kita sering terlupa, seperti anggota lain, kaki dan lutut juga perlukan penjagaan. Malangnya setelah berasa sakit, barulah kita mula memberikan perhatian yang kadang-kadang sudah terlewat akibat keadaan kaki yang sudah menjadi teruk. Dikatakan terdapat beberapa sebab yang mengakibatkan kesakitan pada lutut. Bagaimanapun, di kalangan pakar ortopedik mengatakan bahawa masalah lutut ini tidak hanya berlaku pada golongan tua.
Antara penyebab masalah pada lutut termasuklah kecederaan pada otot akibat aktiviti sukan atau kemalangan, osteoarthritis yang melibatkan hakisan tulang rawan atau terdapat ketumbuhan pada lutut. Sekiranya seseorang itu aktif bersukan, ia mungkin mengalami sakit lutut pada usia muda. Manakala bagi wanita bekerja atau suri rumah, sakit lutut biasanya menyerang ketika mereka berusia 40-an. Bagaimanapun, serangan sakit lutut ini berbeza-beza, bergantung kepada pelbagai faktor termasuk jenis aktiviti harian, usia, pemakanan atau gaya hidup seseorang.
Sakit lutut lebih banyak menyerang wanita disebabkan tulang punggung wanita lebih lebar daripada lelaki. Tulang punggung yang lebar menyebabkan lebih tekanan pada otot peha bahagian dalam. Tekanan ini akan memberi kesan pada bahagian tempurung lutut dan jika berlaku dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan otot-otot di sekitar lutut membengkak. Pergerakan ketika melakukan kerja-kerja menguruskan rumah tangga akan memberi kesan jika dilakukan berpanjangan. Membongkok dan mencangkung biasanya memberikan tekanan berlebihan pada bahagian lutut.
Selain itu, berat badan berlebihan juga menjadi penyumbang kepada sakit lutut. Ini disebabkan bahagian kaki terpaksa menanggung berat keseluruhan badan dan kaki sebagai bahagian paling bawah akan menerima bebanan paling banyak. Satu lagi masalah yang boleh menimbulkan masalah pada lutut ialah tapak kaki rata atau tidak berlekuk.
- Sekiranya tugas yang dilakukan memerlukan anda banyak berdiri, elakkan daripada berdiri tegak sepanjang masa. Bengkokkan lutut berselang-seli antara kedua-dua kaki supaya bebanan berat badan dapat diseimbangkan antara kedua-dua kaki.
- Pastikan lutut dan kaki dalam keadaan selesa setiap kali duduk.
- Sekiranya lutut anda sakit, letakkan bantal di bawah pelipat kaki apabila tidur telentang supaya tidak berlaku ketegangan pada otot lutut ketika tidur.
- Jangan mencangkung atau bertinggung ketika melakukan kerja. Duduk di atas bangku rendah supaya dapat melakukan tugas dengan selesa.
- Elakkan daripada berada dalam posisi yang sama lebih daripada 30 minit.
- Sekiranya lutut sakit, jangan terlalu rajin berjalan jauh, ia akan hanya memburukkan lagi keadaan.
- Hentikan sebarang senaman atau aktiviti yang dilakukan sekiranya terasa lutut anda sakit.
- Tuam dengan air batu atau air panas bagi mengurangkan kesakitan. Air batu berkesan untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak, manakala air panas boleh mengurangkan ketegangan pada otot.
No comments:
Post a Comment