Anda Suka???

Saturday, January 15, 2011

Gua Terbesar Di Dunia

Sepasukan pengkaji gua Britain percaya mereka menemui laluan gua terbesar di dunia di tengah hutan di Vietnam baru-baru ini. Laluan itu dikatakan setinggi 198 meter dan lebar 152 meter.

 
Gua itu yang dikenali penduduk tempatan sebagai Hang Son Dong (Gua Sungai Gunung) juga dipercayai dua kali ganda lebih besar berbanding Gua Rusa di Mulu, Sarawak yang setinggi 92 meter dan 83 meter lebar dan dianggap sebagai yang terbesar di dunia sebelum ini.

"Ia sungguh besar dan menakjubkan dan satu penemuan paling penting oleh pasukan pengkaji gua Britain," kata Adam Spillane, antara 13 anggota pasukan ekspedisi itu.
 
Dengan menggunakan peralatan mengukur laser yang dikenali sebagai LaserRace 300, pasukan itu berupaya mengukur ketinggian dan lebar gua berkenaan. Mereka kini berada semula di London untuk menganalisis penemuan itu.

Menurut sumber, gua itu pada asalnya ditemui pada 1991 oleh warga tempatan, Ho Khanh yang mendiami kawasan hutan berhampiran. Bagaimanapun, menurut Spillane, belum ada orang yang pernah memasukinya.

"Bunyi deruan angin dan bunyi arus air di dalamnya sungguh menggerunkan kerana kewujudan sungai besar di bawah gua itu," katanya.

Dengan disertai wakil dari Universiti Sains Hanoi, Pasukan Ekspedisi Gua Britain-Vietnam 2009 itu menghabiskan masa lima hari menjelajah permukaan gua itu yang terletak di Taman Negara Phong Nha-Ke Bang pada pertengahan April lalu.

Mereka sebelum itu menghabiskan masa enam jam berjalan merentasi hutan sebelum tiba di pintu gua berkenaan. Selepas menuruni ruang yang amat luas, mereka berdepan pula dengan dua sungai bawah tanah sebelum tiba di pintu utama Hang Son Dong.

Pasukan itu akan kembali semula ke Vitenam beberapa bulan lagi untuk melengkapkan ekspedisi itu serta menjalankan kajian sepenuhnya.
"Lebih banyak tugas terpaksa dilakukan pada eskpedisi kami akan datang untuk menyiapkan penyelidikan terhadap Hang Son Doong dan memperoleh catatan bergambar gua itu. Penemuan gua menakjubkan seumpama itu pada zaman ini adalah satu pencapaian besar," kata Spillane.


Sumber : hmetro



 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...