Anda Suka???

Wednesday, February 9, 2011

Teknik Membuat Puding Karamel

Puding ini memang disukai oleh kanak-kanak sehingga ke orang dewasa. Ia juga boleh dikatakan agak mudah disediakan. Bahan-bahannya juga sangat mudah didapati di mana-mana. Rasanya yang enak lebih-lebih lagi jika dimakan sejuk membuatkan ramai yang tidak dapat menahan untuk menjamahnya.

Namun ada segelintir yang mengeluh apabila hasil yang dibuat tidak memuaskan. Alasannya gula yang dibuat berasa pahit kerana terhangus. 

Untuk membuat puding karamel atau krim karamel bukanlah sesusah yang disangka sebenarnya. Bahan-bahan asas membuat puding ini adalah telur, susu dan gula. Puding karamel yang asli hanya menggunakan esen vanilla untuk menambah rasa dan aromanya tetapi anda boleh mempelbagaikan rasanya dengan menambahkan perisa nescafe, pandan atau coklat. 

Teknik yang paling penting dalam membuat puding karamel adalah ketika anda membuat gula karamelnya. Jangan dibiar gula hangus terlalu lama di dalam periuk walaupun sudah diangkat dari api kerana ia akan terus hangus dengan kepanasan periuk. Bila gula menjadi terlalu hangus dan menjadi perang gelap, ia akan berasa pahit. Ini akan merosakkan rasa puding anda. Gula yang sudah menjadi perang sepenuhnya harus ditutup apinya dan serta merta tuangkannya di dalam loyang. Biarkan gula itu mengeras sebelum anda menuang adunan puding nanti. Gula yang sedang dicairkan hanya perlu dikacau sekali-sekala, jangan dikacau dengan terlalu kerap dan keterlaluan kerana ia akan merubah kristal gula dan mengganggu pencairan gula. Gunakan api yang sederhana agar gula dapat diperangkan dengan sekata dan terkawal. 
gambar drpd opie5662.blogspot.com
 Untuk membuat pudingnya pula sila pastikan ketika membancuh adunan puding jangan memukul susu, telur dan gula terlalu kuat. Memukul dengan kuat akan membentuk buih yang akan menyebabkan permukaan puding kasar dan berbintik-bintik. Tapis bancuhan ke dalam loyang yang mengandungi gula karamel tadi. Menapis dapat membuang chalazae (seakan-akan bentuk jeli putih) yang melekat di antara putih telur dan kuning telur. Ini penting untuk mendapatkan puding yang licin dan bersih. 

Ada dua cara membuat Puding Karamel. Ada jenis yang dibakar di dalam ketuhar dan yang dikukus. Jika hendak dibakar, acuan berisi puding hendaklah diletak di dalam bekas atau tin yang lebih besar. Air mendidih dimasukkan ke dalam tin tersebut. Dengan cara ini, puding akan masak dengan wap daripada air panas dan ketuhar sekaligus. Kebanyakan puding yang bertekstur halus dan lembut menggunakan teknik ini. 

Sementara puding jenis kukus mesti dikukus di atas api sederhana perlahan. Bahagian atas acuan perlu ditutup dengan kertas aluminium atau aluminium foil. Jangan ditutup ketat. Memadai dibentukkan seperti ‘bumbung’ dan diletak di atas acuan. Ini untuk mengelakkan wap pengukus menitis ke atas puding dan merosakkannya. 

Kenapa kadang kala bahagian gula hangus terpisah daripada pudingnya? Ini adalah kerana anda tidak terus menuangkan campuran telur ke atasnya. Jika anda menunggu lama, lapisan gula hangus mungkin mengeras. Inilah sebabnya bila anda terbalikkan puding yang sudah masak, lapisan gula hangus melekat di dalam acuan. 

Selain susu cair, susu segar atau susu UHT juga boleh digunakan. Sukatan air dan susu sama banyak. Jadi, anda hanya perlu gunakan tin susu yang sama untuk mengisi air. Jika anda inginkan warna puding yang lebih kuning, boleh ditambah sedikit pewarna kuning atau gantikan tepung jagung dengan tepung kastard.

Untuk mengetahui samada puding anda masak, cucuk bahagian tengahnya dengan hujung pisau tajam. Jika anda menarik keluar pisau, ia hendaklah kelihatan licin dan tidak melekat dengan adunan. Biar puding di dalam acuan hingga sejuk. Kemudian letak di dalam peti sejuk selama 2-3 jam barulah diterbalikkan ke dalam mangkuk. Jika anda mengukus di dalam bekas-bekas kecil, masa mengukus lebih pendek. Sajikan dengan buah-buahan, jika suka.
 


3 comments:

wantie said...

husband ai memang suka bebenor dengan puding karamel ni. tapi tak leh buat selalu. takut kena kencing manis pulak.

Nor Moscow said...

dulu tak gheti nak buat..semenjak dok luar ni..pejam matapun dah boleh buat kak! senang kan!

Anonymous said...

butuh angka hasil ritual,goib di jamin 100% tembus sgp/hk,,,,bergabung aja langsung di 085,,,342,,,906,,,547,,,okay,,buktikan aja soobat...thanks.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...